Wednesday, February 26, 2014

Hasad Dengki Mampu Hancurkan Masyarakat!

Organisasi yang kuat bukan saja bergantung kepada budaya kerja warganya menunjukkan prestasi kerja tinggi, tekun dan bebas daripada penyakit hasad dengki sesama warga. Sejarah zaman berzaman telah membuktikan bagaimana antara penyakit hati yang paling digeruni kerana kemampuannya meruntuhkan umat ialah penyakit hasad.

Hasad atau istilah mudahnya dengki. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin, hasad ialah perasaan iri hati yang inginkan agar nikmat atau kelebihan yang ada pada orang lain terhapus atau tidak berkekalan.

Seseorang yang berpenyakit hasad tidak tenang sehingga melihat apa yang dimiliki orang lain terhapus daripadanya dan membawa kepada perlakuan buruk lain seperti mengadu-domba, mengata, menjatuhkan orang lain, memfitnah, mengumpat hingga menyemaraknya perasaan benci di dalam masyarakat.Tidak hairanlah Nabi Muhammad SAW sendiri mengingatkan dalam banyak hadis berkenaan penyakit hasad antaranya: “Akan menular kepada kamu suatu penyakit umat terdahulu hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama.” (Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).

Memang tepat sekali hadis Nabi Muhammad SAW ini yang mengaitkan penyakit hasad dan benci ini dengan pisau cukur yang mampu mengikis agama dan umat Islam. Malah, jika ditelusuri sejarah kejatuhan setiap tamadun kegemilangan Islam berpunca daripada hasad yang mengakar dalam diri pemimpin dan rakyat hinggakan sanggup berkompromi dengan musuh. Pengalaman penulis dalam dunia akademik, politik, korporat hinggalah ketika menerajui organisasi dakwah pada peringkat kebangsaan, berkesempatan menyaksikan bagaimana penyakit hasad meranapkan ukhuwah bahkan menghancurkan sesebuah institusi. Lebih malang sekali apabila wujud manusia bertopengkan agama tetapi jiwa penuh dengan hasad dengki hingga sanggup wakafkan diri setiap hari untuk berfikir bagaimana untuk menjatuhkan orang lain.

Seolah-olah jiwanya tidak akan tenteram selagi kenikmatan dan kelebihan yang dimiliki pihak dihasadnya tidak hilang. Jika ada berita kebaikan lawannya, maka hatinya gundah-gulana dan cuba pula membuat pelbagai cerita bagi menafikan kebaikan itu. Sebaliknya apabila berita buruk menimpa orang yang didengkinya, hati begitu ceria sehingga terpancar di wajahnya. Orang seperti ini mendustai agama kerana membantah kurniaan Allah SWT kepada hamba yang dikehendaki-Nya seperti firman al-Quran: “Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka.” Surah an-Nisa’ ayat 54. Seharusnya sebagai umat Islam kita mesti sentiasa beriman dengan prinsip qada’ dan qadar yang jelas mengisyaratkan bahawa setiap kelebihan dan rezeki yang dinikmati seseorang semuanya ditentukan oleh Allah SWT sejak azali. Setiap anak Adam apabila ditiup roh ke dalam jasadnya maka ditetapkan empat perkara termasuk rezeki, ajal, jodoh dan bala yang menimpanya.

Bahkan Allah SWT sendiri mengisyaratkan bahawa setiap manusia diberikan rezeki pada kadar yang berbeza seperti firman-Nya: “Dan Allah SWT melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya.” Surah an-Nahl ayat 71. Islam mengajar umatnya agar sentiasa berfikiran positif dengan apa yang diperoleh atau istilah syaraknya Qona’ah. Sikap qona’ah pastinya akan menyuburkan minda seseorang dengan nilai yang baik sehinggakan setiap tutur kata dan peri lakunya terpancar seri serta sentiasa disenangi oleh orang sekelilingnya.

Ini juga ditegaskan dalam hadis: “Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud, katanya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah, kemudian seketul daging. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: Rezekinya, ajalnya, amalannya serta celaka dan bahagianya.”

Lebih mustahak adalah mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah. Semuanya ditentukan Allah SWT. Jika sudah ditakdirkan Allah SWT, nescaya manusia tidak sesekali mampu mengubahnya.

credit: Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
source: berita harian

No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.